Monday, October 7, 2013

Rentetan adik NUR DANIA AMANI


Allah lebih sayangkan mu nak... amanlah kau disana.. Al-fatihah sayang..


Tiba-tiba dunia suram dari suara manjanya, tiba-tiba dunia muram tanpa kelibat wajahnya, dan tiba-tiba dunia kelam tanpa gelak tawanya. Keletahnya seringkali menghiburkan walaupun kadangkala memeningkan. Pantang ditemukan rakan seusianya pasti ditegur, digurau dan diajak bermain walaupun tidak pernah bertemu sebelum itu. Apatah lagi andai regunya adalah sepupu-sepupu dan rakan-rakan sepermainan. L...arinya seolah tak kenal erti penat, lompatnya seolah tak kenal erti berhenti, gelaknya seolah dia tak pernah kenal erti menangis.

Dania, usianya cuma 5 tahun. Tapi Dania arif Dania tidak sesihat rakan sebayanya kerana sejak kecil Dania ada komplikasi jantung. Justeru Dania perlu lalui prosedur pembedahan. Dan usia 5 tahun dikhabarkan adalah usia paling sesuai untuk Dania melalui detik-detik itu. Apapun itu semua tidak menghalang Dania untuk berlibur seperti kanak-kanak yang lain. Malah Dania seringkali dilihat lebih ceria & cergas berbanding teman-temanya.

“Atuk, Dania nak operation jantung. Dania nak pegi KL”, itu kata Dania bila dia tahu dia perlu ke IJN untuk pembedahan jantungnya. Dania langsung tidak menunjukkan riak resah atau gelisah apatah lg untuk berasa takut. Pasti ayah dan ibunya sering menguatkan hati sekecil ini bahawa pembedahan itu biasa-biasa sahaja & tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Apatah lagi dilakukan di Kuala Lumpur pastinya cukup menggembirakan hati si cilik ini. Memang, doktor maklumkan tiada apa yang perlu digusarkan sebab hanya sedikit selaput yang perlu dikeluarkan malah potensi untuk sembuh lebih 90%. Lalu dengan yakin si anak kecil begitu seronok untuk melalui prosedur itu. Walaupun si ayah & ibu gusar tapi keyakinan yang doktor berikan sudah cukup untuk menguatkan tekad.

“Cikgu, Dania nak pergi KL, Dania nak bedah, Dania pergi sekejap je”. Itu pula katanya buat Cikgu Norsibah. Sayu hati Cikgu mendengarkan kata-kata anak didiknya. Dalam hati cikgu, tak risaukah anak ini? Tak takutkah anak ini? Tapi cikgu tak tunjukkan riak wajah yang cikgu cukup risaukan Dania.

“Dania jaga diri baik-baik yea, cikgu doakan Dania sihat. Cikgu dan kawan-kawan semua tunggu Dania balik”. Sekadar itu pesan cikgu. Saban hari di sekolah Tabika KEMAS Kg. Parit Raja, Grisek, Ledang, Dania jugalah yang selalu-selalu hiburkan hati cikgu dan teman-temannya. Tanpa Dania walau sehari di kelas seakan kelas tidak ceria, tidak bertenaga. Danialah yang jadi penyeri buat 8 rakannya yang lain, dan Danialah yang selalu buatkan Cikgu Norsibah dan pembantunya tersenyum. Saban hari jugalah atuk Dania akan hantar Dania ke Tabika yang tidak berapa jauh dari rumah. Atuk selalu berbual-bual dengan cikgu perihal Dania yang keletah dan manja. Atuk tak pernah rasa penat dengan Dania walaupun kadang-kadang kesihatan atuk tidak mengizinkan. Dania adalah penyeri buat keluarga.

Ucap selamat tinggal itu Dania titipkan buat cikgu pada hari Khamis. Cikgu Norsibah kata Dania cutilah hari Jumaat. Atuk pun minta Dania cuti. Ibu dan ayah pun nak Damia cuti. Begitu juga Pakcik dan Makcik Dania. Tapi hari Jumaat Dania tetap nak datang juga. Dania nak jumpa cikgu, Dania nak jumpa kawan-kawan. Dania pesan lagi pada cikgu, Dania pergi sekejap je cikgu. Waktu itu cikgu tak dapat tahan air mata. Air mata cikgu gugur juga di depan si kecil seperti turunnya hujan, seperti air yang mengalir di sungai. Cikgu rasa sebak sangat, kawan-kawan Dania pun sedih sebab tahu Dania akan lama di Kuala Lumpur. Apalah yang boleh cikgu buat selain doa kudus yang tak pernah putus dan harapan tinggi yang cukup tulus.

Tanggal 23 September hari Isnin tibalah saatnya. Di IJN Dania jalani operasi membuang selaput di jantung. Semua doakan Dania akan sihat malah bertambah sihat berbanding sebelum ini. Cikgu dan kawan-kawan di kampung juga doakan Dania. Saudara-mara Dania yang dekat dan jauh pun doakan Dania agar Dania kembali mewarnai hidup mereka. Apapun, suratan Tuhan mengatasi segala tadbir alam. Selepas dibedah, Dania terus diam dan kaku. Tiada seurat pun alis mata yang Dania gerakkan. Apatah lagi untuk mendengar suara manjanya, gerak tangannya dan keletahnya. Dania koma selepas pembedahan. Semua terpana dan terkesima. Jaminan yang doktor berikan nampaknya tidak dapat melangkaui takdir Allah. Benarlah janji Allah, manusia hanya mentadbir tapi Tuhan yang mentakdir. Apapun, ibu ayah, atuk, pakcik, makcik, cikgu, kawan-kawan dan semuanya sekali-kali tidak pernah untuk kenal erti lelah dan putus asa mengharapkan agar Allah sihatkan Dania semula. Lalu tidak putus-putus doa dihadiahkan buat Dania.

1,2, seminggu.... Dania masih bagitu. Dania masih kaku. Dania masih membisu. Dania tak seperti dulu. Akhirnya 3 Oktober 2013 doktor usahakan lagi pembedahan. Makcik Aisyah, makcik Dania sempat titipkan pesan buat semua,

“Teman-teman, tolong doa untuk Nia. Nia operasi lagi petang tadi, tapi jantung kanan ada masalah. Doktor kata harapan tipis. Moga2 ada keajaiban. Kami serah segalanya padaMu ya Allah. Amin.”

Ya Allah, berbekalkan doa dan selawat shifa dari jauh dikirimkan moga Dania disihatkan dan dikuatkan kembali.

Apapun, takdir Allah itu pasti. Tidak akan kurang mahupun lebih walau sesaat. Jam 10.06 malam, dikhabarkan, “Allah lebih sayangkan Dania. Nia dah meninggal dunia. Terima kasih atas sokongan dan doa”. Sampai di sini perjalanan adik Dania. Dalam usia 5 tahun Dania pergi meninggalkan semua selama-lamanya.

4 Oktober 2013. Jenazah Dania selamat tiba di Kg Parit Pelampung awal jam 3 pagi. Bila fajar menyingsing dan matahari terbit, Dania dikunjungi ramai orang. Cikgu Norsibah juga tidak ketinggalan. Cikgu Norsibah dalam derai air mata ajak kawan-kawan Dania tengok Dania. Kawan-kawan rindu sangat pada Dania. Dania janji Dania pergi sekejap sahaja tp nampaknya Dania terpaksa mungkir janji pada kawan-kawan. Tapi bukan salah Dania. Dania minta maaf pada cikgu dan kawan-kawan. Cikgu dan kawan-kawan menangis tengok Dania tak senyum lagi, tak ketawa lagi, tak bercakap lagi. Dania dah tiada. Dania pergi untuk selamanya.

Dania pergi untuk iringi pemergian adiknya setahun yang lalu. Dania pergi untuk bersama-sama bidadari sebagai ahli syurga. Dania ahli syurga, Dania akan bagi syafaat buat ibu dan ayah. Dania tak pergi sia-sia. Senyumlah wahai ibu, wahai ayah, atuk, pakcik, makcik, cikgu, kawan-kawan dan semua. Dania ahli syurga. Itu janji Tuhan buat Dania. Jangan menangis lagi....

Salam kasih, salam kerinduan,
Nur Dania Amani bt Ruzli
Akhir perjalanan seorang insan kecil

Innalillahi wa inna ilaihi raajiun.
Alfatihah...

(ini coretan menggambarkan rasa hati seorang insan bernama : Taufik bin Mohd Yusop)
Pengarah KEMAS negeri Johor

4 comments :

salam 1 Malaysia ! sila tinggalkan comment yg positif dan tidak menyinggung perasaan saya ! Maaf jika ada kalanya saya tak dapat nak reply tapi saya akan sedaya upaya berkunjung blog anda ! Hepi Blogwalking Fren !